Pertandingan Dalam Talian Cari Pelapis Nasyid - Berita Harian Online
JKKN menjalinkan kerjasama dengan Rabbani Productions Sdn Bhd bagi mencari pelapis dalam genre nasyid dan marhaban. - Foto JKKN
KUALA LUMPUR: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) terus semarakkan program Iftar Ramadan dengan menganjurkan Pertandingan Nasyid dan Marhaban Dalam Talian Sempena 'Iftar 2021@Ramadan Online' untuk pencinta nasyid.
Bagaikan tidak lengkap program Iftar Ramadan tanpa diserikan dengan pertandingan nasyid, setiap tahun.
Kali ini, JKKN menjalinkan kerjasama dengan Rabbani Productions Sdn Bhd bagi mencari pelapis dalam genre nasyid dan marhaban.
Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop berkata, program Iftar Ramadan dijalankan mengikut norma baharu yang ditetapkan kerajaan, tahun ini, biarpun berdepan pandemik COVID-19.
"Sasaran JKKN mahu menjadikan pertandingan ini sebagai platform mencungkil bakat dan kumpulan nasyid berkualiti sebagai barisan pelapis nasyid dan marhaban baharu.
"Selain mengetengahkan kumpulan nasyid dan marhaban berbakat ke peringkat lebih tinggi, ia juga bertujuan mengumpulkan karya baharu oleh mereka yang bertanding.
"Apa yang dilakukan secara tidak langsung dapat membantu membangunkan potensi yang ada pada pelapis kumpulan nasyid dan marhaban baharu di Malaysia," katanya kepada BH Online.
Mesran berkata, program itu juga sedikit sebanyak dapat membantu barisan pelapis baharu mempamerkan bakat ketika seluruh negara masih berdepan dengan situasi pandemik COVID-19. Ia sekali gus dapat menyemarakkan Ramadan.
Katanya, JKKN sentiasa berusaha menyemarakkan aktiviti seni budaya pada Ramadan.
"Menerusi pertandingan, ia dapat memperdengarkan masyarakat dengan hiburan yang mendidik jiwa.
"Penyampaian mesej yang positif menerusi lagu nasyid dan marhaban dapat membantu membentuk masyarakat bersatu padu dan saling menghormati.
"Kami berharap pertandingan ini dapat memberi manfaat kepada penggiat industri nasyid dan marhaban dalam kalangan penyanyi, pemuzik dan kru balik tabir," katanya.
Keputusan pertandingan diumumkan pada 24 dan 25 April ini menerusi Facebook rasmi JKKN.
Juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000 berserta sijil penghargaan, RM2,000 (naib johan), tempat ketiga (RM1,000), manakala tiga pemenang sagu hati akan menerima RM800.
Tarikh tutup penyertaan pada 16 April depan. Maklumat lanjut sila layari www.jkkn.gov.my atau Facebook JKKN melalui pautan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.